Tiga emas, rekod PB dan dominasi acara warnai kejayaan kontinjen olahraga negara di terbuka singapura
SINGAPURA – Skuad olahraga kebangsaan menamatkan saingan di Kejohanan Trek dan Balapan Terbuka Singapura ke-86 dengan nota cemerlang selepas mengumpul barisan pingat emas, perak, dan gangsa dalam kejohanan yang berlangsung di Stadium Nasional Kallang dari 15 hingga 17 April 2026.
Pencapaian kali ini bukan sekadar mengenai kutipan pingat, malah menjadi medan buat atlet negara memperbaiki catatan peribadi dan membina keyakinan bagi mengharungi musim 2026.
Ratu 400m negara, Shereen Samson Vallabouy, menyifatkan kemenangan emasnya dengan catatan 54.24s sebagai titik tolak penting untuk musim ini.
“Ini adalah permulaan yang baik untuk tahun ini setelah saya mencari momentum dan membina keyakinan diri,” kata Shereen selepas perlumbaan.
Bagi jaguh 400m lelaki, Umar Osman, kemenangan dengan masa 47.14s belum cukup memuaskan hatinya. Beliau yang turut membantu kuartet 4x400m meraih perak nekad untuk terus bekerja keras.
“Saya bersyukur untuk kemenangan hari ini tapi dari segi masa saya perlu banyak perbaiki lagi!” tegas Umar.
Kejutan paling manis hadir menerusi Mohamad Armin Zahryl dalam acara 110m Lari Berpagar. Beliau bukan sahaja meraih emas, malah mencatatkan rekod peribadi baharu (Personal Best) dengan masa 13.82s.
“Alhamdulillah, terima kasih kepada seluruh rakyat Malaysia yang sentiasa mendoakan saya. Hari ini saya berjaya mencatat PB baharu,” ulas Armin dengan penuh kesyukuran.
SENARAI PENUH PEMENANG PINGAT MALAYSIA
PINGAT EMAS
- Mohamad Armin Zahryl – 110m Lari Berpagar Lelaki (13.82s – NEW PB)
- Umar Osman – 400m Lelaki
- Shereen Vallabouy – 400m Wanita
PINGAT PERAK
- Andre Anura Anuar – Lompat Jauh Lelaki
- Muhammad Izzul Hanif – Lompat Kijang Lelaki
- Melissa Choong En Xuan – Lompat Tinggi Wanita
- Ng Jing Xuan – Rejam Lembing Wanita
- Kuartet 4x400m Lelaki – (Muhammad Aiman Najmi, Umar Osman, Kanishkann Nathan, Wan Muhammad Fazri)
PINGAT GANGSA
- Nurkhaleesa Yasmin Awang – Lompat Kijang Wanita
- Nurkhaleesa Yasmin Awang – Lompat Jauh Wanita
Kejayaan di bumi Singapura ini membuktikan barisan atlet negara kini berada pada tahap kesediaan yang tinggi. Syabas diucapkan kepada semua pemenang dan seluruh warga kerja di belakang tabir yang memastikan Jalur Gemilang berkibar megah di The Kallang.
Teruskan mengikuti perkembangan sukan tanah air secara eksklusif di Sportif Media.



“I never thought I’d enjoy training this much until joining Sportif. The coaches are supportive and really know how to bring out the best in you.”