NILAI – Skuad berbasikal trek negara menerima tamparan hebat menjelang saingan Piala Dunia UCI di Nilai minggu ini apabila pelumba pecut, Muhammad Ridwan Sahrom, disahkan terpaksa menarik diri akibat kecederaan bahu kiri yang serius.
Kecederaan tersebut dialami pelumba berusia 25 tahun itu selepas terlibat dalam kemalangan ngeri ketika saingan repechage pusingan pertama acara keirin di Piala Dunia Hong Kong, Sabtu lalu.
Pengarah Teknikal program berbasikal negara, John Beasley, mengesahkan bahawa Ridwan mengalami kecederaan sendi acromioclavicular (AC) tahap gred tiga hingga empat. Berdasarkan penilaian awal, kecederaan tersebut berkemungkinan besar memerlukan pembedahan segera.
“Beliau jatuh keras pada bahagian bahu. Ramai yang menyangka tulang selangkanya (clavicle) patah, tetapi sebenarnya ia membabitkan sendi AC yang terpisah sehingga menampakkan bonjolan yang jelas,” ujar Beasley ketika ditemui di Majlis Penajaan Piala Dunia Nilai di Velodrom Nasional, hari ini.
Ridwan dijadualkan menjalani pemeriksaan lanjut bersama doktor Institut Sukan Negara (ISN) bagi menentukan langkah rawatan seterusnya.
Beasley menjangkakan Ridwan memerlukan masa sekitar sebulan untuk memulakan latihan ringan selepas pembedahan, namun proses untuk kembali ke tahap kecergasan penuh mungkin memakan masa antara tiga hingga enam bulan.
Situasi ini menggugat perancangan skuad pecut berpasukan yang sebelum ini membariskan Ridwan bersama Fadhil Zonis dan Akmal Jusena.
Ketiadaan Ridwan membuka ruang buat pelumba muda, Adib Adnan, 20, untuk mengisi kekosongan tersebut. Beasley menjelaskan bahawa barisan kejurulatihan akan melakukan beberapa sesi ujian dalam tempoh terdekat bagi menilai kombinasi terbaik pasukan.
“Kami akan menilai semula tahap kecergasan Adib. Untuk jangka masa panjang, beliau merupakan aset penting, namun buat masa ini, pasukan pecut berpasukan kita terpaksa beraksi dalam keadaan yang sedikit tempang tanpa Ridwan,” tambah beliau.
Saingan Piala Dunia Trek di Nilai dijadualkan berlangsung dari 24 hingga 26 April ini, menampilkan barisan pelumba terbaik dunia dalam misi memburu mata kelayakan antarabangsa.



“I never thought I’d enjoy training this much until joining Sportif. The coaches are supportive and really know how to bring out the best in you.”